Pengaplikasian
Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa Melayu Berbantukan Komputer : Masalah Dalam Kalangan Guru Dan Murid
Sekolah
Oleh : Tarmizi bin
Hanafiah
Perkembangan semasa pendidikan negara
menggambarkan peningkatan dan perubahan dalam aspek pembelajaran dan pengajaran
guru yang perlu diperbaiki dan dimurnikan daripada semasa ke semasa. Sehubungan
itu, penggunaan Bahan Bantu Mengajar ( BBM ) berasaskan TMK dalam pembelajaran dan
pengajaran khususnya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ( PdP) Bahasa Melayu dilihat
amat efektif dan sesuai untuk dilaksanakan di sekolah. Penggunaan TMK perlu
dilihat secara optimis dan dilaksanakan secara proaktif oleh guru untuk
meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran dan kefahaman pelajar dalam
pembelajaran. Situasi ini membawa perubahan kepada pengubahsuaian fungsi dan
peranan guru. Peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan kepada pelajar
telah bertukar kepada guru sebagai pemudah cara dalam pembelajaran dan
pengajaran, agen perubahan dan sumber maklumat kepada pelajar. Guru harus
kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem teknologi pengajaran menjadi lebih
kreatif dan menyeronokkan dengan penggunaannya akan menambah kualiti
penyampaian guru.
Namun
demikian, ketaksuban dan keterlaluan bergantung kepada penggunaan Teknologi Multimedia
dan Komunikasi ( TMK ) seperti komputer,
intemet, laman web, e-mel dan lain-lain boleh memberikan impak yang besar
kepada proses PdP guru itu sendiri. Dalam hal ini, pendidikan Bahasa Melayu
juga tidak terkecuali menghadapi masalah dalam pelaksanaan TMK dalam pengajaran
Bahasa Melayu. Guru dan pelajar akan mengalami masalah dan cabaran yang amat
besar jika kedua-duanya terlalu bergantung kepada TMK untuk memperolehi dan
menguasai ilmu pengetahuan.
Antara masalah
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu adalah
perancangan pengajaran guru menjadi terhad. Sesetengah guru Bahasa Melayu yang
mengajar menggunakan TMK akan berasa ketidakjelasan pengajaran bahasa mereka kerana
kurang perancangan dalam merancang aktiviti-aktiviti PdP berbantukan TMK. Hal ini
akan mendatangkan masalah dan rasa bimbang kepada pelajar untuk belajar bahasa.
Apabila guru kurang atau lemah perancangan, maka pelaksanaan penggunaan TMK
dalam PdP akan tergendala. Oleh itu, guru-guru memerlukan sukatan pelajaran
yang munasabah serta perancangan yang baik supaya objektif PdP yang ditetapkan
dalam rancangan mengajar tercapai. Ketidakjelasan sukatan pelajaran akan
menyukarkan pelajar untuk belajar Bahasa Melayu dengan berkesan.
Masalah akan bertambah lebih serius
apabila TMK yang digunakan tidak dapat atau kurang berfungsi untuk membantu
pelajar menyelesaikan masalah pembelajaran bahasa mereka.
Selain itu, masih
terdapat guru yang tidak tahu menggunakan komputer untuk memasukkan data atau
masih terkial-kial untuk menggunakan perisian asas dalam pengajaran seperti
Microsoft Word dan Microsoft Power Point. Pengetahuan kepada perisian asas ini
penting kepada seseorang guru bahasa. Hal ini demikian kerana, perisian ini
digunakan semasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Contohnya, dalam
pengajaran kemahiran lisan, guru perlu tahu cara ingin memasukkan gambar, audio
serta video untuk mencapai objektif pembelajaran. Jika guru tidak mahir dalam
bidang komputer, maka pembelajaran kemahiran lisan tidak dapat dijalankan
dengan sebaiknya. Selain itu, guru juga
kurang mahir dalam menggunakan perlatan TMK.
Apabila guru yang tidak cekap menggunakan peralatan ICT seperti pemancar LCD
dan komputer riba, perkara ini akan menimbulkan masalah. Sesetengah guru yang
tidak cekap mengambil masa yang lama untuk menyediakan peralatan sebelum
memulakan proses pengajaran. Kesannya, masa di bilik darjah terbazir begitu
sahaja memandangkan guru terkial-kial menggunakan peralatan ICT yang disediakan
pihak sekolah. Kelemahan sebilangan guru ini menyebabkan usaha kerajaan untuk
mengaplikasikan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran terbantut. Pembaharuan
ini dirasakan sebagai satu beban bagi golongan guru ini. Mereka tiada kepakaran
untuk mengoperasikan peralatan yang kemudiannya dijadikan alasan mengganggu dan
mengambil masa pengajaran.
Guru juga dilihat
belum bersedia membuat perubahan dengan mengintegrasikan teknologi maklumat
tetapi ada juga yang tidak bersedia membuat perubahan kerana yakin PdP kaedah
lama lebih relevan dengan sistem peperiksaan. Hal ini demikian kerana, mereka
lebih mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada
dasarnya jika keputusan peperiksaan yang diperolehi setiap tahun cukup baik dan
cemerlang pada tanggapan guru mengapa harus kita mengubah apa yang telah sedia
baik untuk pelajar. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan
dengan berkesan. Selain daripada sikap yang tidak menganggap TMK itu penting, terdapat
juga guru-guru yang risau untuk mengguna peralatan TMK itu sendiri. Antara kerisauan yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan
komputer ialah mereka takut sekiranya rosak apabila disentuh peralatan
tersebut, mereka merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi dan ada
guru yang risau sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer
membuat segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer, dengan perasaan risau
sebegini adalah lebih mudah bagi mereka menolak terus perubahan.
Masalah yang
seterusnya ialah bahan pembelajaran TMK yang terhad. Bagi laman web yang
berkaitan pendidikan, sudah tentu sesuai dijadikan bahan PdP bagi guru-guru
Bahasa Melayu. Namun begitu, tidak semua bahan yang terdapat dalam Internet,
laman web dan lain-lain sesuai dengan kurikulum sesuatu mata pelajaran Bahasa
Melayu. Hal ini sudah tentu menyukarkan guru-guru Bahasa Melayu untuk
mengetengahkan bahan-bahan yang sesuai untuk pendidikan Bahasa Melayu kepada
pelajar-pelajarnya. Perkara ini secara
tidak langsung membataskan pengetahuan pelajar dalam mempelajari bahasa menggunakan
teknologi seperti intemet. Di samping itu, bahan-bahan yang terdapat dalam TMK
lebih kepada cita rasa, budaya dan norma-norma masyarakat barat yang kurang
sesuai untuk pendidikan para pelajar. Oleh itu, guru Bahasa Melayu perlu
mengenal pasti dan mengubahsuaikan kandungan kurikulum bahan yang diambil daripada
intemet, laman web dan lain-lain mengikut budaya masyarakat Malaysia.
Selanjutnya, maklumat
yang terdapat di dalam TMK terlalu banyak dan tidak terbatas bidang ilmunya
yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sehingga kepada perbincangan yang
membincangkan khusus untuk pendidikan. Internet misalnya merupakan jaringan TMK
yang paling popular untuk tujuan pendidikan. Namun demikian, tidak semua
bahan-bahan yang terdapat di dalam Intemet sesuai untuk proses pendidikan
khasnya untuk PdP Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar
mungkin akan menyalahgunakan internet dan terdedah kepada unsur-unsur negatif
yang boleh menjejaskan nilai moral pelajar. Dalam hal ini, sekirannya guru
Bahasa Melayu ingin menggunakan sesuatu bahan dalam Internet sebagai bahan
bantu mengajarnya, maka guru perlu memastikan bahan tersebut perlu mencerminkan
budaya, norma dan menyanjung nilai-nilai estetika masyarakat Malaysia yang
berbilang kaum. Bahan-bahan yang tidak bermoral, kurang berkualiti, bahan yang
menyentuh sensitiviti kaum, bahasa, budaya sesuatu etnik di Malaysia perlu
dielakkan. Malahan, bahasa yang digunakan dalam bahan tersebut juga perlu
dilihat. Bahasa-bahasa yang tidak bermoral, berunsur lucah, bahasa yang kurang
sopan dan lain-lain bahasa negatif sebaik-baiknya tidak terdapat dalam bahan
yang digunakan itu.Tujuannya adalah untuk mendidik pelajar agar tidak
terpengaruh dengan penggunaan bahasa yang kurang sopan yang boleh mempengaruhi
gaya pertuturan dan penulisan mereka.
Guru-guru juga
memerlukan masa persediaan yang banyak bagi mengintegrasikan komputer dalam
pengajaran mereka. Persediaan yang diperlukan termasuk daripada aspek menyediakan
bahan mengajar serta untuk menyediakan bahan pada komputer sebelum kelas
dimulakan. Dengan bilangan waktu mengajar yang banyak, sehinggakan ada guru
yang mempunyai masa mengajar 30 waktu seminggu memberikan kesukaran kepada
mereka untuk membuat persediaan mengajar di sekolah dan juga untuk menyediakan
bahan mengajar di makmal komputer. Guru-guru juga mempunyai beban tugas lain
selain daripada mengajar yang akan mengambil masa semasa waktu persekolahan
seperti guru jadual waktu, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua panitia, selepas
waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat
daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan
menyukarkan guru untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu
menyediakan bahan sendiri. Sebagai contoh, jika guru perlu mendapatkan bahan daripada
internet dan untuk memilih bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa
berjam-jam. Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari
memerlukan masa yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti
supaya bahan tersebut berupaya membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis
dan kreatif, berupaya membuat penerokaan sendiri pada kadar kendiri dan mampu
memajukan diri sendiri.
Kemudahan
infrastruktur TMK yang terdapat tidak memungkinkan guru-guru menjalankan proses
PdP Bahasa Melayu berbantukan komputer dengan sempurna. Hakikatnya, komputer
yang dibekalkan di sekolah-sekolah selalunya yang kurang berkualiti dan mungkin
model yang telah ketinggalan. Hal ini mungkin disebabkan tender yang diberikan tidak
dapat dipenuhi oleh pembekal. Selain itu, perisian yang kurang bermutu dan
sesuai dengan pengajaran Bahasa Melayu menjadikan guru-guru sukar menyediakan
dan melaksanakan PdP berbantukan komputer. Kuantiti komputer yang dibekalkan
juga tidak mencukupi bagi kelas yang mempunyai ramai pelajar. Hal ini akan
menyebabkan pelajar berebut-rebut menggunakan komputer dalam kelas dan akan
menyebabkan pergaduhan kecil berlaku. Oleh itu, agak sukar bagi guru
menjalankan proses PdP berbantukan komputer jika perkara seperti ini masih
membelenggu sekolah.
Penggunaan
internet boleh meningkatkan mutu pembelajaran pelajar dan juga menarik minat
pelajar untuk mengikuti pembelajaran dengan baik. Namun masalah yang sering
timbul ialah kemudahan internet tidak begitu memuaskan dan telah membantutkan
masa pembelajaran pelajar. Ketiadaan internet di sekolah akan menghilangkan
minat pelajar dalam mengikuti kelas yang menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran.
Mereka tidak dapat memberi tumpuan yang baik dan tidak dapat menjangka sesuatu
pembelajaran yang akan diajar oleh guru. Perancangan dan persiapan yang
dilakukan untuk pengajaran akan terjejas apabila pelajar gagal mengakses
maklumat yang terdapat dalam pengajaran guru. Keadaan ini akan menyebabkan guru
mencari inisiatif lain bagi meneruskan sesi pengajaran. Apabila perkara ini
sering berlaku, akhirnya guru-guru berbalik kepada kaedah pengajaran secara
tradisional.
Tambahan lagi, masyarakat
luar bandar kurang memberikan sambutan kerana mereka kurang pengetahuan tentang
komputer, Intemet dan sebagainya berbanding masyarakat bandar. Selain daripada
itu, mereka tiada kemampuan untuk membeli atau memiliki komputer serta
melanggan Intemet. Tambahan pula perkara tersebut tiada hubung kait dengan kehidupan harian mereka. Berbeza
dengan masyarakat di bandar yang lebih terdedah dengan komputer dan Internet.
Perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelajar bandar dan luar
bandar. Dalam konteks pendidikan Bahasa Melayu, sudah tentu penerimaan
masyarakat terutamanya pelajar-pelajar sekolah akan menjadi titik tolak
keberkesanan dan kejayaan sesuatu pengajaran-pemelajaran berbantukan komputer
dan Intemet. Sebagai contoh, pelajar-pelajar luar bandar sudah tentu mengalami
kesukaran untuk belajar Bahasa Melayu di rumah kerana ketiadaan komputer,
Intemet dan faktor sosioekonomi ibu bapa. Oleh itu, sudah tentu segala aktiviti
pembelajaran menggunakan TMK di rumah tidak dapat dijalankan dengan jaya atau
berkesan.
Seterusnya, proses
pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan
prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer, peralatan berkaitan
dengan penggunaan teknologi maklumat, serta penyediaan dan penyelenggaraan komputer
yang mencukupi dan lancar. Sistem penyelenggaraan bahan teknologi maklumat di
sekolah yang tidak cekap menjadi salah satu punca permasalahan pengintegrasiaan
ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu juga, peruntukan
kewangan yang lambat serta tidak mencukupi untuk proses penyediaan kemudahan
teknologi maklumat di sekolah-sekolah tertentu menjadi salah satu punca
timbulnya permasalahan dalam proses pengintegrasian.
Masalah bilik
komputer juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam
pengajaran. Terdapat guru bahasa yang tidak dapat menggunakan bilik komputer
kerana sering digunakan oleh kumpulan pelajar lain. Pengaruh rakan sejawat
tidak mempengaruhi sampel kajian dalam pelaksanaan pengajaran berbantukan
komputer. Minat mengajar menggunakan komputer tidak menurun apabila tidak ramai
guru yang berbuat demikian. Kesimpulannya, bidang bahasa juga sedang mengalami
zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya.
Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan
penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Pengintegrasian teknologi maklumat
dalam pengajaran bahasa berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam
menguasai sesuatu bahasa itu dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam
perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan juga
penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai
dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.
Antara langkah
yang dapat diambil bagi mengatasi masalah pembelajaran Bahasa Melayu
berbantukan komputer dalam kalangan guru dan pelajar adalah melalui pemilihan
perisian yang bertepatan dengan murid berdasarkan kebolehmampuan guru
menggunakannya. Guru-guru Bahasa Melayu perlu memastikan perisian-perisian yang
hendak digunakan dalam PdP perlu sesuai dengan tahap pelajar, mencakupi
aspek-aspek kemahiran bahasa dan berbahasa, berupaya melatih pelajar berfikir
secara kritis dan kreatif di samping mengandungi nilai-nilai murni yang sesuai
untuk diterapkan. Kementerian Pendidikan misalnya perlu merancang dan merangka
kurikulum yang tersusun dan menyeluruh bagi penggunaan internet di dalam bilik
darjah agar pelaksanaannya dapat mendatangkan manfaat kepada pelajar-pelajar.
Kurikulum tersebut perlu mengambil kira tahap kebolehan pelajar,lokasi sekolah
dan kemampuan sekolah daripada segi kewangan.
Bagi mencapai
hasil yang cemerlang dalam aktiviti PdP, guru-guru bahasa khususnya perlu
diberi peluang oleh pentadbir sekolah untuk mengikuti kursus-kursus yang
berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Kursus-kursus yang
berkaitan dengan penggunaan intemet, laman web, dan sebagainya harus didedahkan
kepada guru-guru Bahasa Melayu. Guru-guru juga perlu diberi kursus berkaitan
dengan bagaimana hendak mengakses komputer,intemet, bahan dalam internet dan
sebagainya. Dengan pengetahuan dan sedikit kepakaran yang diterima akan
membantu guru-guru Bahasa Melayu mempraktikkan penggunaan teknologi sebagai
bahan bantu mengajar ketika mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di dalam
kelas. Secara tidak langsung, kursus kemahiran menggunakan teknologi akan
menjadikan guru Bahasa Melayu seorang
guru yang berinovasi untuk jangka panjang.
Kursus yang
dihadiri oleh seseorang guru walaupun setiap hari untuk memantapkan pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer tidak bermakna jika
prasarana terutamanya kelengkapan makmal komputer tidak dipenuhi. Untuk
menangani masalah ini, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu
memperuntukkan wang yang besar. Dengan cara ini mudah bagi Kementerian
Pelajaran menyalur dan menyediakan makmal dan perkakasan ke sekolah-sekolah, terutamanya
sekolah-sekolah yang dinaikkan taraf sebagai Sekolah Bestari dan
sekolah-sekolah luar bandar. Daripada segi kualiti perkakasan yang dibekalkan juga
perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian bagi memastikan setiap perkakasan
yang dibekalkan ke sekolah-sekolah benar-benar berkualiti dan boleh digunakan.
Dengan kata lain, guru-guru Bahasa Melayu yang ngin mengajar menggunakan komputer,
Internet, laman web dalam PdP akan berjaya dan berkesan sekiranya bahan-bahan
yang disediakan berkualiti dan dapat meningkatkan aktiviti PdP di dalam bilik darjah. Pemantauan yang
kerap dan respon yang cepat haruslah diambil oleh pihak atasan agar masalah
bekalan kelengkapan komputer dan masalah komputer rosak yang tidak dibaiki
tidak terus terjadi.
Pentadbiran
sekolah, terutamanya Pengetua dan Guru Besar mempunyai bidang kuasa yang luas
dan mutlak jika mahukan TMK dijadikan pemangkin dalam proses PdP di dalam bilik
darjah. Pengetua dan Guru Besar boleh mengarahkan guru Bahasa Melayu misalnya
menggunakan perisian PdP Bahasa Melayu sekurang-kurangnya sebulan sekali ketika
mengajar. Proses ini boleh dilaksanakan dengan jayanya sekiranya Pengetua dan
Guru Besar bertegas dalam hal ini dengan syarat semua prasarana PdP berbantukan
komputer sudah lengkap. Apabila arahan diwajibkan menggunakan TMK dalam PdP,
maka sudah tentu guru-guru Bahasa Melayu akan berusaha untuk menggunakan
pelbagai perisian pengajaran Bahasa Melayu yang ada di pasaran hari ini sebagai
sebahagian daripada bahan bantu pengajaran mereka. Dengan cara ini, usaha untuk
mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK dalam PdP akan berjalan dengan
baik dan berkesan.
Pihak pentadbiran sekolah
juga dapat memantapkan integrasi ICT dalam proses PdP sekolah dengan menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti
pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta komuniti setempat.
Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling relevan
untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah PdP menggunakan ICT.
Teknik perkongsian pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan
sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah.
Sekolah harus menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi
mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guru-guru dalam
menjadikan penggunaan ICT dalam PdP bahasa Melayu secara berkesan.
Kesimpulannya,
ledakan arus Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) pada masa kini tidak
harus dipandang enteng oleh para guru, bahkan mereka hendaklah mengaplikasikannya
dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam subjek Bahasa Melayu agar
subjek ini bertambah menarik, berkesan dan sesuai dengan peredaran perkembangan
pendidikan pada masa kini. Segala permasalahan yang dihadapi oleh guru dalam
pelaksanaan PdP Bahasa Melayu menggunakan TMK ini janganlah dijadikan alasan
oleh para untuk berpatah balik menggunakan kaedah tradisional walhal perlulah
dijadikan pemangkin untuk para guru terus berusaha mencari jalan penyelesaian
dalam mendidik anak bangsa. Semua pihak, terutamanya pihak pentadbiran sekolah
dan pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah
cakna dan responsif terhadap masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah dan guru
dalam menggunakan kaedah ini dalam pengajaran mereka. Semua pihak haruslah
berganding bahu serta menggembleng tenaga untuk memartabatkan sistem pendidikan
negara.
hang bt blog x habaq kt cek na
ReplyDeleteCasino Night | Jackson, MS 39530 - JM Hub
ReplyDeleteCasino Night offers live entertainment that 동해 출장마사지 is a fun and 영주 출장샵 easy way 하남 출장마사지 to indulge 안동 출장마사지 in gaming, dining, 전라북도 출장샵 and the relaxation of an outdoor pool.