sahabat selamanya..........

sahabat selamanya..........

Thursday 17 April 2014

Kebaikan dan Keburukan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Kebaikan dan Keburukan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah
      Oleh : Tarmizi bin Hanafiah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, transformasi bermaksud perubahan bentuk seperti sifat, rupa dan keadaan. Transformasi bukan hanya berlaku dalam sesebuah organisasi pendidikan tetapi juga melibatkan transformasi dalam bidang kurikulum. Hal ini adalah selaras dengan matlamat bahawa sekolah bukan sekadar tempat untuk menyediakan pelajar-pelajar yang bakal mengisi kekosongan sesuatu pekerjaan yang khusus sebaliknya merupakan satu tempat yang berfungsi untuk memberikan didikan yang sempuna dan lengkap yang dapat menjamin dan membolehkan mereka menyumbang kepada kemajuan diri dan masyarakat. Justeru, kurikulum pendidikan mestilah mempunyai wasilah yang dapat memfokuskan kepada proses memperkembangkan potensi individu daripada pelbagai sudut.
Antara transformasi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan memperkenalkan sistem pentaksiran yang holistik iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2011 adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pendidikan negara dapat melahirkan modal insan yang berkesan. Sistem PBS juga adalah salah satu usaha membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan penambahbaikkan bagi sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu UPSR dan PMR. Sistem pentaksiran yang baru ini telah dirangka dan disusun secara sistematik oleh lembaga peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana terdapat buku panduan pengurusan dan pengendalian pentaksiran berasaskan sekolah yang boleh dijadikan panduan untuk mengoperasikan PBS di sekolah rendah dan menengah.
Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif  (emosi dan rohani)  dan psikomotor  (jasmani)  selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Komponen-komponen PBS terbahagi kepada dua bidang iaitu mentaksir bidang akademik dan bukan akademik yang mana bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala  bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Kedua-dua  bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.
Setiap komponen tersebut memainkan peranan yang penting untuk mentaksir murid-murid mengikut bidang yang ditetapkan. Di dalam bidang akademik murid-murid, Pentaksiran Pusat (PP) dan Pentaksiran Sekolah (PS)   yang memainkan peranan. Pentaksiran pusat (PP) adalah pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran Sekolah (PS) pula adalah pentaksiran yang menjurus kepada bidang akademik yang mana berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Terdapat dua jenis pentaksiran sekolah iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.
Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.  Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian. Manakala Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah  ujian bulanan dan ujian penggal. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen portfolio itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.
Pentaksiran Sekolah adalah komponen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana berperanan mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru serta mampu memberi maklumat yang sah tentang apa yang telah dilaksanakan atau dicapai dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran ini dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula daripada aspek perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau penskoran, perekodan dan pelaporannya. Justeru, pentaksiran ini amat penting  untuk menentukan keberkesanan guru dan pihak sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni dan seimbang.
Selain daripada itu, ianya merupakan aktiviti yang berterusan yang menagih komitmen yang tinggi serta hala tuju yang jelas daripada guru dan pihak  sekolah untuk memperkembangkan potensi setiap murid ke tahap maksimum.
Pentaksiran sekolah bercirikan satu pentaksiran yang holistik iaitu mampu memberi maklumat keseluruhan tentang  pencapaian pengetahuan dan kemahiran serta pengamalan nilai murni murid-murid. Disamping aktiviti pentaksiran berterusan iaitu berjalan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran sekolah juga bersifat fleksibel iaitu kaedah pentaksiran yang pelbagai mengikut kesesuaian dan kesediaan murid dengan merujuk standard prestasi yang dibina berdasarkan standard kurikulum. Jelas menunjukkan pentaksiran yang dirangka sangat menyeluruh dan memberi banyak kelebihan kepada pendidikan di negara kita walaupun terdapat kekeliruan daripada segelintir para pendidik dan ibu bapa untuk melaksanakan sistem ini di sekolah.
Dalam usaha menjadikan pentaksiran berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi sebagai sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung. Standard Prestasi digunakan untuk melihat  kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Disamping itu, Standard Prestasi juga merupakan proses untuk mendapatkan maklumat tentang sejauh mana tahap pengetahuan, pemahaman dan tindakan yang boleh murid-murid lakukan atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian. Pernyataan Standard diletakkan dalam kategori mengikut Band iaitu Band 1, Band 2, Band 3, Band 4,  Band 5 dan Band 6 yang disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu murid-murid.
Antara kelebihannya, pentaksiran ini tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid tersebut dalam pembelajaran berdasarkan pernyataan standard. Justeru, murid-murid akan dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Malahan, pihak sekolah juga mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.
Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga menyediakan pentaksiran bagi menilai murid-murid tidak hanya di dalam bidang akademik malah terdapat pentaksiran yang dirangka untuk melihat penglibatan murid-murid di dalam bidang sukan dan kemahiran-kemahiran yang lain. Komponen pentaksiran tersebut terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan, mengukur penyertaan, penglibatan, prestasi murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum (extra-curricular). PAJSK memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah mengikut keupayaan murid dan dibangunkan untuk melengkapi sistem pentaksiran pendidikan di Malaysia  supaya lebih holistik dan bersepadu. PAJSK juga sejajar dengan konsep Satu Murid Satu Sukan (1M1S), pembangunan modal insan dan perkembangan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Manakala bagi Pentaksiran Psikometrik, dilaksanakan untuk menilai dan mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran. Pentaksiran Psikometrik juga merupakan suatu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan ciri (trait) psikologi yang diukur merangkumi dua komponen utama iaitu aptitud dan personaliti murid. Ujian Aptitud pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Ujian Aptitud Am dan Ujian Aptitud Khusus. Ujian Aptitud Am mengukur kebolehan yang menggambarkan kemahiran asas murid secara hierarki juga mengenal pasti kecenderungan murid berdasarkan kriteria tertentu seperti mengenal pasti kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan kecenderungan murid. Manakala Ujian Aptitud khusus adalah untuk mendapatkan maklumat khusus tentang struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan murid dalam bidang tertentu. Ujian Aptitud Khusus ini telah menerapkan Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner, yang mana beliau percaya bahawa manusia itu diklasifikasikan pintar cerdas bukan dari cerdas akademik semata-mata tetapi mempunyai sembilan kecerdasan yang lain iaitu verbal-linguistik, kreativiti, muzik, naturalis, visual, kinestetik, interpersonal, intrapersonal dan logik matematik.
Inventori Personaliti pula ialah satu instrumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang sahsiah unik setiap murid. Instrument ini  bertujuan membantu mengenal pasti personaliti murid supaya guru dapat menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai serta membantu murid dan ibu bapa mengenal pasti personaliti anaknya dan menyedari potensi diri mereka. Di samping itu, pihak sekolah dapat menyediakan profil murid yang lengkap untuk rujukan dan kegunaan dalam pendidikan dan perkembangan individu murid-murid. Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Maka dengan itu, Kementerian Pelajaran juga telah bersiap sedia menyediakan indikator atau petunjuk utama bagi penjaminan kualiti dalam Pentaksiran Berasakan Sekolah ini iaitu kesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran dan keadilan. Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS pula dapat dicapai melalui proses pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan.
Pihak kementerian pelajaran juga telah menyediakan beberapa langkah untuk mengkaji kelemahan dan kebaikan perlaksanaan sistem PBS ini. Antaranya ialah menyediakan sebuah portal rasmi maklumat berkaitan PBS yang terkandung di dalamnya sebuah kajian soal selidik mengenai tahap kesediaan guru melaksanakan PBS. Kajian soal selidik tersebut wajib diisi oleh guru-guru tahun satu, dua, tiga dan tingkatan satu. Perkara ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat kesediaan guru dan dapatan soal selidik tersebut dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.
Seterusnya, antara kelebihan lain melalui sistem PBS ini adalah mengenai pemansuhan UPSR dan PMR. Pemansuhan UPSR dan PMR dapat meringankan beban pelajar dan guru. Pemansuhan kedua-dua peperiksaan ini membolehkan pelajar belajar tanpa tekanan. Hal ini demikian kerana, pelajar tidak lagi perlu untuk menghabiskan sukatan dalam tempoh enam tahun dan tiga tahun untuk peperiksaan UPSR dan PMR. Pelajar hanya perlu mengambil satu peperiksaan awam sahaja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) yang tempoh masa belajarnya mencecah sebelas tahun. Dengan ini, beban pelajar untuk menghabiskan sukatan dalam tempoh masa yang singkat dapat dihapuskan. Sehubungan itu, beban guru di sekolah juga dapat dikurangkan apabila tidak diwajibkan untuk mengadakan kelas tambahan sebaik sahaja tamat waktu persekolahan setiap hari. Jelasnya, pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR ini mampu mengurangkan beban guru dan pelajar.
Tambahan lagi, pemansuhan UPSR dan PMR dapat menggalakkan penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum. Pemansuhan kedua-dua peperiksaan ini menyebabkan kelas tambahan untuk pelajar tidak diwajibkan dan sekali gus memberi masa lapang yang lebih banyak untuk pelajar menyertai aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab dan permainan serta badan unit beruniform. Kesannya, pelajar pelajar dapat menggerakkan sukan di sekolah hingga ke peringkat daerah,negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
            Selanjutnya, PBS juga terdapat kelemahannya. Antaranya, sistem pendidikan Malaysia yang bersifat berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan digubal pada peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kebanyakan pentadbir atau guru tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri. Sebagai contohnya, apabila program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) diperkenalkan, guru mata pelajaran bahasa Malaysia dan subjek teras lain terpaksa bertungkus lumus memberi perhatian kepada pelajar yang terlibat dalam program berkenaan. Guru juga terpaksa membahagikan masa antara mengajar murid kelas perdana dan murid program KIA2M selain daripada terpaksa mengikuti kursuskursus dalaman yang berkaitan dengan program berkenaan. Bagaimanapun, baharu saja guru yang terlibat dalam program berkenaan berusaha meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan program tersebut, akhirnya ia dimansuhkan dan digantikan dengan program Literacy and Numeracy Screening (LINUS). Maka sekali lagi guru-guru terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa yang jelas, banyak masa guru diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu program berbanding masa untuk melaksanakannya.
            Isu kekangan ruang dan masa juga boleh menyukarkan usaha transformasi ke atas program kurikulum atau kokurikulum yang hendak dilaksanakan. Pelaksanaan P & P terancang di luar kelas sukar terutamanya bagi sekolah menumpang dan sekolah-sekolah dua sesi yang menghadapi kekangan ruang. Kekangan ruang dan masa memerlukan kepimpinan yang kreatif untuk mewujudkan dan memantapkan budaya ownership. Kekurangan guru juga amat ketara di sekolah ekoran daripada kursus anjuran PPG atau JPN dan juga program ko-kurikulum peringkat gabungan dan negeri yang diadakan secara berterusan. Guru-guru terpaksa meninggalkan sekolah dan akibatnya P & P terganggu. Semangat sepasukan sukar disemai kerana wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan guru yang asyik mengganti kelas mereka yang sering berurusan rasmi di luar kawasan sekolah. Manakala guru-guru yang sering keluar pula tidak berupaya untuk menjual beli mahupun membuat kelas tambahan kerana kekangan tempat dan masa dan merasakan diri mereka tidak dihargai oleh pemimpin sedangkan mereka telah memberi sumbangan kepada organisasi.
            Tambahan lagi, sistem PBS ini juga mendatangkan kesulitan kepada guru sewaktu ingin memasukkan markah ke dalam talian. Bagi guru yang bertugas di pedalaman, masalah rangkaian internet merupakan faktor utama kelemahan sistem PBS ini. Mereka perlu menunggu sehingga lewat malam bagi memasukkan markah pelajar ke dalam sistem. Bagi ibu bapa yang kurang berkemahiran dalam teknologi dan maklumat sudah tentu tidak dapat memantau perkembangan anak-anak mereka. Hal ini menyebabkan mereka tertanya-tanya tentang perkembangan pelajaran anak-anak mereka. Hal ini juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengetahui prestasi semasa anak-anak dan membantu anak-anak mereka untuk mempertingkatkan prestasi dalam pelajaran. Sistem band juga memeningkan ibu bapa. Pengetahuan tentang sistem PBS yang tidak diambil kisah oleh ibu bapa  dan kurang maklumat yang diberikan oleh pihak sekolah dan kerajaan menyebabkan mereka tidak tahu di mana tahap penguasaan dan prestasi anak mereka. Hal ini mendatangkan kesan sampingan kepada peningkatan prestasi pelajar.
            Kelemahan sistem PBS yang seterusnya ialah dapat dilihat melalui pemansuhan UPSR dan PMR. Pemansuhan UPSR dan PMR menjejaskan penilaian terhadap tahap prestasi pelajar yang berasaskan peperiksaan standard. Hal ini demikian kerana, guru di sekolah kurang berupaya untuk menyediakan soalan yang standard dengan UPSR mahupun PMR. Mereka hanya mampu menyediakan ujian bulanan mengikut sekolah masing-masing sahaja untuk menilai perkembangan pelajar. Penilaian perkembangan prestasi pelajar sebegini seolah-olah tiada hala tuju yang tertentu di samping tidak dapat menilai prestasi pelajar dengan tepat. Hal ini jauh berbeza apabila UPSR dapat menilai keupayaan pelajar dalam menguasai perkara asas 4M iaitu membaca, mengira,menulis dan menaakul. PMR pula penting kerana dapat menentukan arah aliran yang bakal diambil pelajar pada tingkatan empat di samping menilai keupayaan pelajar dalam bidang-bidang tertentu. Jelasnya, peperiksaan awam UPSR dan PMR perlu dikekalkan untuk penilaian perkembangan prestasi pelajar yang standard.Pemansuhan UPSR dan PMR juga menghil angkan budaya saling bersaing di sekolah. Budaya saling bersaing penting dalam kalangan pelajar sejak dahulu lagi. Hal ini demikian kerana budaya saling bersaing bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang mempunyai keazaman tinggi untuk memperoleh keputusan cemerlang malahan merupakan alternatif untuk pelajar meningkatkan prestasi mereka.

Tuntasnya, jelas terbukti bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini telah dirangka dengan sempurna dan tersusun bagi meningkat dan menjamin mutu pendidikan negara pada masa akan datang. PBS ini juga mendatangkan impaknya yang tersendiri. Kelemahan yang ada haruslah diperbaiki dan dicari jalan penyelesainnya bagi meningkatkan lagi kualiti mutu pendidikan di Malaysia. Apa yang penting, setiap perancangan rapi yang telah disusun haruslah berakhir dengan perlaksanaan yang sempurna. Maka PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, serta mendapat kerjasama yang jitu daripada semua pihak yang terlibat, ianya bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis di sekolah untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan masalah gejala sosial yang berlaku pada masa sekarang ini selain memberi transformasi yang positif terhadap pendidikan di Malaysia.

Thursday 3 April 2014

Pengaplikasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer : Masalah Dalam Kalangan Guru Dan Murid Sekolah

Pengaplikasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer : Masalah Dalam Kalangan Guru Dan Murid Sekolah
Oleh : Tarmizi bin Hanafiah

Perkembangan semasa pendidikan negara menggambarkan peningkatan dan perubahan dalam aspek pembelajaran dan pengajaran guru yang perlu diperbaiki dan dimurnikan daripada semasa ke semasa. Sehubungan itu, penggunaan Bahan Bantu Mengajar ( BBM ) berasaskan TMK dalam pembelajaran dan pengajaran khususnya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ( PdP) Bahasa Melayu dilihat amat efektif dan sesuai untuk dilaksanakan di sekolah. Penggunaan TMK perlu dilihat secara optimis dan dilaksanakan secara proaktif oleh guru untuk meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran dan kefahaman pelajar dalam pembelajaran. Situasi ini membawa perubahan kepada pengubahsuaian fungsi dan peranan guru. Peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan kepada pelajar telah bertukar kepada guru sebagai pemudah cara dalam pembelajaran dan pengajaran, agen perubahan dan sumber maklumat kepada pelajar. Guru harus kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem teknologi pengajaran menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan dengan penggunaannya akan menambah kualiti penyampaian guru.
            Namun demikian, ketaksuban dan keterlaluan bergantung kepada penggunaan Teknologi Multimedia dan Komunikasi ( TMK )  seperti komputer, intemet, laman web, e-mel dan lain-lain boleh memberikan impak yang besar kepada proses PdP guru itu sendiri. Dalam hal ini, pendidikan Bahasa Melayu juga tidak terkecuali menghadapi masalah dalam pelaksanaan TMK dalam pengajaran Bahasa Melayu. Guru dan pelajar akan mengalami masalah dan cabaran yang amat besar jika kedua-duanya terlalu bergantung kepada TMK untuk memperolehi dan menguasai ilmu pengetahuan.
Antara masalah penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu adalah perancangan pengajaran guru menjadi terhad. Sesetengah guru Bahasa Melayu yang mengajar menggunakan TMK akan berasa ketidakjelasan pengajaran bahasa mereka kerana kurang perancangan dalam merancang aktiviti-aktiviti PdP berbantukan TMK. Hal ini akan mendatangkan masalah dan rasa bimbang kepada pelajar untuk belajar bahasa. Apabila guru kurang atau lemah perancangan, maka pelaksanaan penggunaan TMK dalam PdP akan tergendala. Oleh itu, guru-guru memerlukan sukatan pelajaran yang munasabah serta perancangan yang baik supaya objektif PdP yang ditetapkan dalam rancangan mengajar tercapai. Ketidakjelasan sukatan pelajaran akan menyukarkan pelajar untuk belajar Bahasa Melayu dengan berkesan.
Masalah akan bertambah lebih serius apabila TMK yang digunakan tidak dapat atau kurang berfungsi untuk membantu pelajar menyelesaikan masalah pembelajaran bahasa mereka.
Selain itu, masih terdapat guru yang tidak tahu menggunakan komputer untuk memasukkan data atau masih terkial-kial untuk menggunakan perisian asas dalam pengajaran seperti Microsoft Word dan Microsoft Power Point. Pengetahuan kepada perisian asas ini penting kepada seseorang guru bahasa. Hal ini demikian kerana, perisian ini digunakan semasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Contohnya, dalam pengajaran kemahiran lisan, guru perlu tahu cara ingin memasukkan gambar, audio serta video untuk mencapai objektif pembelajaran. Jika guru tidak mahir dalam bidang komputer, maka pembelajaran kemahiran lisan tidak dapat dijalankan dengan sebaiknya. Selain itu,  guru juga kurang mahir dalam menggunakan perlatan  TMK. Apabila guru yang tidak cekap menggunakan peralatan ICT seperti pemancar LCD dan komputer riba, perkara ini akan menimbulkan masalah. Sesetengah guru yang tidak cekap mengambil masa yang lama untuk menyediakan peralatan sebelum memulakan proses pengajaran. Kesannya, masa di bilik darjah terbazir begitu sahaja memandangkan guru terkial-kial menggunakan peralatan ICT yang disediakan pihak sekolah. Kelemahan sebilangan guru ini menyebabkan usaha kerajaan untuk mengaplikasikan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran terbantut. Pembaharuan ini dirasakan sebagai satu beban bagi golongan guru ini. Mereka tiada kepakaran untuk mengoperasikan peralatan yang kemudiannya dijadikan alasan mengganggu dan mengambil masa pengajaran.
Guru juga dilihat belum bersedia membuat perubahan dengan mengintegrasikan teknologi maklumat tetapi ada juga yang tidak bersedia membuat perubahan kerana yakin PdP kaedah lama lebih relevan dengan sistem peperiksaan. Hal ini demikian kerana, mereka lebih mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada dasarnya jika keputusan peperiksaan yang diperolehi setiap tahun cukup baik dan cemerlang pada tanggapan guru mengapa harus kita mengubah apa yang telah sedia baik untuk pelajar. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan dengan berkesan. Selain daripada sikap yang tidak menganggap TMK itu penting, terdapat juga guru-guru yang risau untuk mengguna peralatan TMK itu sendiri.  Antara kerisauan  yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan komputer ialah mereka takut sekiranya rosak apabila disentuh peralatan tersebut, mereka merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi dan ada guru yang risau sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer membuat segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer, dengan perasaan risau sebegini adalah lebih mudah bagi mereka menolak terus perubahan.
 Masalah yang seterusnya ialah bahan pembelajaran TMK yang terhad. Bagi laman web yang berkaitan pendidikan, sudah tentu sesuai dijadikan bahan PdP bagi guru-guru Bahasa Melayu. Namun begitu, tidak semua bahan yang terdapat dalam Internet, laman web dan lain-lain sesuai dengan kurikulum sesuatu mata pelajaran Bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu menyukarkan guru-guru Bahasa Melayu untuk mengetengahkan bahan-bahan yang sesuai untuk pendidikan Bahasa Melayu kepada pelajar-pelajarnya. Perkara  ini secara tidak langsung membataskan pengetahuan pelajar dalam mempelajari bahasa menggunakan teknologi seperti intemet. Di samping itu, bahan-bahan yang terdapat dalam TMK lebih kepada cita rasa, budaya dan norma-norma masyarakat barat yang kurang sesuai untuk pendidikan para pelajar. Oleh itu, guru Bahasa Melayu perlu mengenal pasti dan mengubahsuaikan kandungan kurikulum bahan yang diambil daripada intemet, laman web dan lain-lain mengikut budaya masyarakat Malaysia.
Selanjutnya, maklumat yang terdapat di dalam TMK terlalu banyak dan tidak terbatas bidang ilmunya yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sehingga kepada perbincangan yang membincangkan khusus untuk pendidikan. Internet misalnya merupakan jaringan TMK yang paling popular untuk tujuan pendidikan. Namun demikian, tidak semua bahan-bahan yang terdapat di dalam Intemet sesuai untuk proses pendidikan khasnya untuk PdP Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar mungkin akan menyalahgunakan internet dan terdedah kepada unsur-unsur negatif yang boleh menjejaskan nilai moral pelajar. Dalam hal ini, sekirannya guru Bahasa Melayu ingin menggunakan sesuatu bahan dalam Internet sebagai bahan bantu mengajarnya, maka guru perlu memastikan bahan tersebut perlu mencerminkan budaya, norma dan menyanjung nilai-nilai estetika masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Bahan-bahan yang tidak bermoral, kurang berkualiti, bahan yang menyentuh sensitiviti kaum, bahasa, budaya sesuatu etnik di Malaysia perlu dielakkan. Malahan, bahasa yang digunakan dalam bahan tersebut juga perlu dilihat. Bahasa-bahasa yang tidak bermoral, berunsur lucah, bahasa yang kurang sopan dan lain-lain bahasa negatif sebaik-baiknya tidak terdapat dalam bahan yang digunakan itu.Tujuannya adalah untuk mendidik pelajar agar tidak terpengaruh dengan penggunaan bahasa yang kurang sopan yang boleh mempengaruhi gaya pertuturan dan penulisan mereka.
  Guru-guru juga memerlukan masa persediaan yang banyak bagi mengintegrasikan komputer dalam pengajaran mereka. Persediaan yang diperlukan termasuk daripada aspek menyediakan bahan mengajar serta untuk menyediakan bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. Dengan bilangan waktu mengajar yang banyak, sehinggakan ada guru yang mempunyai masa mengajar 30 waktu seminggu memberikan kesukaran kepada mereka untuk membuat persediaan mengajar di sekolah dan juga untuk menyediakan bahan mengajar di makmal komputer. Guru-guru juga mempunyai beban tugas lain selain daripada mengajar yang akan mengambil masa semasa waktu persekolahan seperti guru jadual waktu, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua panitia, selepas waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri. Sebagai contoh,  jika guru perlu mendapatkan bahan daripada internet dan untuk memilih bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa berjam-jam. Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari memerlukan masa yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti supaya bahan tersebut berupaya membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis dan kreatif, berupaya membuat penerokaan sendiri pada kadar kendiri dan mampu memajukan diri sendiri.
Kemudahan infrastruktur TMK yang terdapat tidak memungkinkan guru-guru menjalankan proses PdP Bahasa Melayu berbantukan komputer dengan sempurna. Hakikatnya, komputer yang dibekalkan di sekolah-sekolah selalunya yang kurang berkualiti dan mungkin model yang telah ketinggalan. Hal ini mungkin disebabkan tender yang diberikan tidak dapat dipenuhi oleh pembekal. Selain itu, perisian yang kurang bermutu dan sesuai dengan pengajaran Bahasa Melayu menjadikan guru-guru sukar menyediakan dan melaksanakan PdP berbantukan komputer. Kuantiti komputer yang dibekalkan juga tidak mencukupi bagi kelas yang mempunyai ramai pelajar. Hal ini akan menyebabkan pelajar berebut-rebut menggunakan komputer dalam kelas dan akan menyebabkan pergaduhan kecil berlaku. Oleh itu, agak sukar bagi guru menjalankan proses PdP berbantukan komputer jika perkara seperti ini masih membelenggu sekolah. 
Penggunaan internet boleh meningkatkan mutu pembelajaran pelajar dan juga menarik minat pelajar untuk mengikuti pembelajaran dengan baik. Namun masalah yang sering timbul ialah kemudahan internet tidak begitu memuaskan dan telah membantutkan masa pembelajaran pelajar. Ketiadaan internet di sekolah akan menghilangkan minat pelajar dalam mengikuti kelas yang menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran. Mereka tidak dapat memberi tumpuan yang baik dan tidak dapat menjangka sesuatu pembelajaran yang akan diajar oleh guru. Perancangan dan persiapan yang dilakukan untuk pengajaran akan terjejas apabila pelajar gagal mengakses maklumat yang terdapat dalam pengajaran guru. Keadaan ini akan menyebabkan guru mencari inisiatif lain bagi meneruskan sesi pengajaran. Apabila perkara ini sering berlaku, akhirnya guru-guru berbalik kepada kaedah pengajaran secara tradisional.
Tambahan lagi, masyarakat luar bandar kurang memberikan sambutan kerana mereka kurang pengetahuan tentang komputer, Intemet dan sebagainya berbanding masyarakat bandar. Selain daripada itu, mereka tiada kemampuan untuk membeli atau memiliki komputer serta melanggan Intemet. Tambahan pula perkara tersebut tiada hubung kait  dengan kehidupan harian mereka. Berbeza dengan masyarakat di bandar yang lebih terdedah dengan komputer dan Internet. Perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelajar bandar dan luar bandar. Dalam konteks pendidikan Bahasa Melayu, sudah tentu penerimaan masyarakat terutamanya pelajar-pelajar sekolah akan menjadi titik tolak keberkesanan dan kejayaan sesuatu pengajaran-pemelajaran berbantukan komputer dan Intemet. Sebagai contoh, pelajar-pelajar luar bandar sudah tentu mengalami kesukaran untuk belajar Bahasa Melayu di rumah kerana ketiadaan komputer, Intemet dan faktor sosioekonomi ibu bapa. Oleh itu, sudah tentu segala aktiviti pembelajaran menggunakan TMK di rumah tidak dapat dijalankan dengan jaya atau berkesan.
Seterusnya, proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer, peralatan berkaitan dengan penggunaan teknologi maklumat, serta penyediaan dan penyelenggaraan komputer yang mencukupi dan lancar. Sistem penyelenggaraan bahan teknologi maklumat di sekolah yang tidak cekap menjadi salah satu punca permasalahan pengintegrasiaan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu juga, peruntukan kewangan yang lambat serta tidak mencukupi untuk proses penyediaan kemudahan teknologi maklumat di sekolah-sekolah tertentu menjadi salah satu punca timbulnya permasalahan dalam proses pengintegrasian.
 Masalah bilik komputer juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Terdapat guru bahasa yang tidak dapat menggunakan bilik komputer kerana sering digunakan oleh kumpulan pelajar lain. Pengaruh rakan sejawat tidak mempengaruhi sampel kajian dalam pelaksanaan pengajaran berbantukan komputer. Minat mengajar menggunakan komputer tidak menurun apabila tidak ramai guru yang berbuat demikian. Kesimpulannya, bidang bahasa juga sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya. Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai sesuatu bahasa itu dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan juga penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.
Antara langkah yang dapat diambil bagi mengatasi masalah pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer dalam kalangan guru dan pelajar adalah melalui pemilihan perisian yang bertepatan dengan murid berdasarkan kebolehmampuan guru menggunakannya. Guru-guru Bahasa Melayu perlu memastikan perisian-perisian yang hendak digunakan dalam PdP perlu sesuai dengan tahap pelajar, mencakupi aspek-aspek kemahiran bahasa dan berbahasa, berupaya melatih pelajar berfikir secara kritis dan kreatif di samping mengandungi nilai-nilai murni yang sesuai untuk diterapkan. Kementerian Pendidikan misalnya perlu merancang dan merangka kurikulum yang tersusun dan menyeluruh bagi penggunaan internet di dalam bilik darjah agar pelaksanaannya dapat mendatangkan manfaat kepada pelajar-pelajar. Kurikulum tersebut perlu mengambil kira tahap kebolehan pelajar,lokasi sekolah dan kemampuan sekolah daripada segi kewangan.
Bagi mencapai hasil yang cemerlang dalam aktiviti PdP, guru-guru bahasa khususnya perlu diberi peluang oleh pentadbir sekolah untuk mengikuti kursus-kursus yang berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Kursus-kursus yang berkaitan dengan penggunaan intemet, laman web, dan sebagainya harus didedahkan kepada guru-guru Bahasa Melayu. Guru-guru juga perlu diberi kursus berkaitan dengan bagaimana hendak mengakses komputer,intemet, bahan dalam internet dan sebagainya. Dengan pengetahuan dan sedikit kepakaran yang diterima akan membantu guru-guru Bahasa Melayu mempraktikkan penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar ketika mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas. Secara tidak langsung, kursus kemahiran menggunakan teknologi akan menjadikan guru  Bahasa Melayu seorang guru yang berinovasi untuk jangka panjang.
Kursus yang dihadiri oleh seseorang guru walaupun setiap hari untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer tidak bermakna jika prasarana terutamanya kelengkapan makmal komputer tidak dipenuhi. Untuk menangani masalah ini, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memperuntukkan wang yang besar. Dengan cara ini mudah bagi Kementerian Pelajaran menyalur dan menyediakan makmal dan perkakasan ke sekolah-sekolah, terutamanya sekolah-sekolah yang dinaikkan taraf sebagai Sekolah Bestari dan sekolah-sekolah luar bandar. Daripada segi kualiti perkakasan yang dibekalkan juga perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian bagi memastikan setiap perkakasan yang dibekalkan ke sekolah-sekolah benar-benar berkualiti dan boleh digunakan. Dengan kata lain, guru-guru Bahasa Melayu yang ngin mengajar menggunakan komputer, Internet, laman web dalam PdP akan berjaya dan berkesan sekiranya bahan-bahan yang disediakan berkualiti dan dapat meningkatkan aktiviti  PdP di dalam bilik darjah. Pemantauan yang kerap dan respon yang cepat haruslah diambil oleh pihak atasan agar masalah bekalan kelengkapan komputer dan masalah komputer rosak yang tidak dibaiki tidak terus terjadi.
Pentadbiran sekolah, terutamanya Pengetua dan Guru Besar mempunyai bidang kuasa yang luas dan mutlak jika mahukan TMK dijadikan pemangkin dalam proses PdP di dalam bilik darjah. Pengetua dan Guru Besar boleh mengarahkan guru Bahasa Melayu misalnya menggunakan perisian PdP Bahasa Melayu sekurang-kurangnya sebulan sekali ketika mengajar. Proses ini boleh dilaksanakan dengan jayanya sekiranya Pengetua dan Guru Besar bertegas dalam hal ini dengan syarat semua prasarana PdP berbantukan komputer sudah lengkap. Apabila arahan diwajibkan menggunakan TMK dalam PdP, maka sudah tentu guru-guru Bahasa Melayu akan berusaha untuk menggunakan pelbagai perisian pengajaran Bahasa Melayu yang ada di pasaran hari ini sebagai sebahagian daripada bahan bantu pengajaran mereka. Dengan cara ini, usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK dalam PdP akan berjalan dengan baik dan berkesan.
Pihak pentadbiran sekolah juga dapat memantapkan integrasi ICT dalam proses PdP sekolah dengan  menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta komuniti setempat. Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling relevan untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah PdP menggunakan ICT. Teknik perkongsian pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah. Sekolah harus menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guru-guru dalam menjadikan penggunaan ICT dalam PdP bahasa Melayu secara berkesan.

Kesimpulannya, ledakan arus Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) pada masa kini tidak harus dipandang enteng oleh para guru, bahkan mereka hendaklah mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam subjek Bahasa Melayu agar subjek ini bertambah menarik, berkesan dan sesuai dengan peredaran perkembangan pendidikan pada masa kini. Segala permasalahan yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan PdP Bahasa Melayu menggunakan TMK ini janganlah dijadikan alasan oleh para untuk berpatah balik menggunakan kaedah tradisional walhal perlulah dijadikan pemangkin untuk para guru terus berusaha mencari jalan penyelesaian dalam mendidik anak bangsa. Semua pihak, terutamanya pihak pentadbiran sekolah dan pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah cakna dan responsif terhadap masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah dan guru dalam menggunakan kaedah ini dalam pengajaran mereka. Semua pihak haruslah berganding bahu serta menggembleng tenaga untuk memartabatkan sistem pendidikan negara.