sahabat selamanya..........

sahabat selamanya..........

Thursday 17 April 2014

Kebaikan dan Keburukan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Kebaikan dan Keburukan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah
      Oleh : Tarmizi bin Hanafiah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, transformasi bermaksud perubahan bentuk seperti sifat, rupa dan keadaan. Transformasi bukan hanya berlaku dalam sesebuah organisasi pendidikan tetapi juga melibatkan transformasi dalam bidang kurikulum. Hal ini adalah selaras dengan matlamat bahawa sekolah bukan sekadar tempat untuk menyediakan pelajar-pelajar yang bakal mengisi kekosongan sesuatu pekerjaan yang khusus sebaliknya merupakan satu tempat yang berfungsi untuk memberikan didikan yang sempuna dan lengkap yang dapat menjamin dan membolehkan mereka menyumbang kepada kemajuan diri dan masyarakat. Justeru, kurikulum pendidikan mestilah mempunyai wasilah yang dapat memfokuskan kepada proses memperkembangkan potensi individu daripada pelbagai sudut.
Antara transformasi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan memperkenalkan sistem pentaksiran yang holistik iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2011 adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pendidikan negara dapat melahirkan modal insan yang berkesan. Sistem PBS juga adalah salah satu usaha membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan penambahbaikkan bagi sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu UPSR dan PMR. Sistem pentaksiran yang baru ini telah dirangka dan disusun secara sistematik oleh lembaga peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana terdapat buku panduan pengurusan dan pengendalian pentaksiran berasaskan sekolah yang boleh dijadikan panduan untuk mengoperasikan PBS di sekolah rendah dan menengah.
Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif  (emosi dan rohani)  dan psikomotor  (jasmani)  selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Komponen-komponen PBS terbahagi kepada dua bidang iaitu mentaksir bidang akademik dan bukan akademik yang mana bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala  bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Kedua-dua  bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.
Setiap komponen tersebut memainkan peranan yang penting untuk mentaksir murid-murid mengikut bidang yang ditetapkan. Di dalam bidang akademik murid-murid, Pentaksiran Pusat (PP) dan Pentaksiran Sekolah (PS)   yang memainkan peranan. Pentaksiran pusat (PP) adalah pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran Sekolah (PS) pula adalah pentaksiran yang menjurus kepada bidang akademik yang mana berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Terdapat dua jenis pentaksiran sekolah iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.
Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.  Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian. Manakala Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah  ujian bulanan dan ujian penggal. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen portfolio itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.
Pentaksiran Sekolah adalah komponen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana berperanan mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru serta mampu memberi maklumat yang sah tentang apa yang telah dilaksanakan atau dicapai dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran ini dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula daripada aspek perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau penskoran, perekodan dan pelaporannya. Justeru, pentaksiran ini amat penting  untuk menentukan keberkesanan guru dan pihak sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni dan seimbang.
Selain daripada itu, ianya merupakan aktiviti yang berterusan yang menagih komitmen yang tinggi serta hala tuju yang jelas daripada guru dan pihak  sekolah untuk memperkembangkan potensi setiap murid ke tahap maksimum.
Pentaksiran sekolah bercirikan satu pentaksiran yang holistik iaitu mampu memberi maklumat keseluruhan tentang  pencapaian pengetahuan dan kemahiran serta pengamalan nilai murni murid-murid. Disamping aktiviti pentaksiran berterusan iaitu berjalan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran sekolah juga bersifat fleksibel iaitu kaedah pentaksiran yang pelbagai mengikut kesesuaian dan kesediaan murid dengan merujuk standard prestasi yang dibina berdasarkan standard kurikulum. Jelas menunjukkan pentaksiran yang dirangka sangat menyeluruh dan memberi banyak kelebihan kepada pendidikan di negara kita walaupun terdapat kekeliruan daripada segelintir para pendidik dan ibu bapa untuk melaksanakan sistem ini di sekolah.
Dalam usaha menjadikan pentaksiran berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi sebagai sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung. Standard Prestasi digunakan untuk melihat  kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Disamping itu, Standard Prestasi juga merupakan proses untuk mendapatkan maklumat tentang sejauh mana tahap pengetahuan, pemahaman dan tindakan yang boleh murid-murid lakukan atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian. Pernyataan Standard diletakkan dalam kategori mengikut Band iaitu Band 1, Band 2, Band 3, Band 4,  Band 5 dan Band 6 yang disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu murid-murid.
Antara kelebihannya, pentaksiran ini tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid tersebut dalam pembelajaran berdasarkan pernyataan standard. Justeru, murid-murid akan dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Malahan, pihak sekolah juga mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.
Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga menyediakan pentaksiran bagi menilai murid-murid tidak hanya di dalam bidang akademik malah terdapat pentaksiran yang dirangka untuk melihat penglibatan murid-murid di dalam bidang sukan dan kemahiran-kemahiran yang lain. Komponen pentaksiran tersebut terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan, mengukur penyertaan, penglibatan, prestasi murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum (extra-curricular). PAJSK memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah mengikut keupayaan murid dan dibangunkan untuk melengkapi sistem pentaksiran pendidikan di Malaysia  supaya lebih holistik dan bersepadu. PAJSK juga sejajar dengan konsep Satu Murid Satu Sukan (1M1S), pembangunan modal insan dan perkembangan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Manakala bagi Pentaksiran Psikometrik, dilaksanakan untuk menilai dan mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran. Pentaksiran Psikometrik juga merupakan suatu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan ciri (trait) psikologi yang diukur merangkumi dua komponen utama iaitu aptitud dan personaliti murid. Ujian Aptitud pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Ujian Aptitud Am dan Ujian Aptitud Khusus. Ujian Aptitud Am mengukur kebolehan yang menggambarkan kemahiran asas murid secara hierarki juga mengenal pasti kecenderungan murid berdasarkan kriteria tertentu seperti mengenal pasti kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan kecenderungan murid. Manakala Ujian Aptitud khusus adalah untuk mendapatkan maklumat khusus tentang struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan murid dalam bidang tertentu. Ujian Aptitud Khusus ini telah menerapkan Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner, yang mana beliau percaya bahawa manusia itu diklasifikasikan pintar cerdas bukan dari cerdas akademik semata-mata tetapi mempunyai sembilan kecerdasan yang lain iaitu verbal-linguistik, kreativiti, muzik, naturalis, visual, kinestetik, interpersonal, intrapersonal dan logik matematik.
Inventori Personaliti pula ialah satu instrumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang sahsiah unik setiap murid. Instrument ini  bertujuan membantu mengenal pasti personaliti murid supaya guru dapat menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai serta membantu murid dan ibu bapa mengenal pasti personaliti anaknya dan menyedari potensi diri mereka. Di samping itu, pihak sekolah dapat menyediakan profil murid yang lengkap untuk rujukan dan kegunaan dalam pendidikan dan perkembangan individu murid-murid. Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Maka dengan itu, Kementerian Pelajaran juga telah bersiap sedia menyediakan indikator atau petunjuk utama bagi penjaminan kualiti dalam Pentaksiran Berasakan Sekolah ini iaitu kesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran dan keadilan. Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS pula dapat dicapai melalui proses pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan.
Pihak kementerian pelajaran juga telah menyediakan beberapa langkah untuk mengkaji kelemahan dan kebaikan perlaksanaan sistem PBS ini. Antaranya ialah menyediakan sebuah portal rasmi maklumat berkaitan PBS yang terkandung di dalamnya sebuah kajian soal selidik mengenai tahap kesediaan guru melaksanakan PBS. Kajian soal selidik tersebut wajib diisi oleh guru-guru tahun satu, dua, tiga dan tingkatan satu. Perkara ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat kesediaan guru dan dapatan soal selidik tersebut dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.
Seterusnya, antara kelebihan lain melalui sistem PBS ini adalah mengenai pemansuhan UPSR dan PMR. Pemansuhan UPSR dan PMR dapat meringankan beban pelajar dan guru. Pemansuhan kedua-dua peperiksaan ini membolehkan pelajar belajar tanpa tekanan. Hal ini demikian kerana, pelajar tidak lagi perlu untuk menghabiskan sukatan dalam tempoh enam tahun dan tiga tahun untuk peperiksaan UPSR dan PMR. Pelajar hanya perlu mengambil satu peperiksaan awam sahaja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) yang tempoh masa belajarnya mencecah sebelas tahun. Dengan ini, beban pelajar untuk menghabiskan sukatan dalam tempoh masa yang singkat dapat dihapuskan. Sehubungan itu, beban guru di sekolah juga dapat dikurangkan apabila tidak diwajibkan untuk mengadakan kelas tambahan sebaik sahaja tamat waktu persekolahan setiap hari. Jelasnya, pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR ini mampu mengurangkan beban guru dan pelajar.
Tambahan lagi, pemansuhan UPSR dan PMR dapat menggalakkan penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum. Pemansuhan kedua-dua peperiksaan ini menyebabkan kelas tambahan untuk pelajar tidak diwajibkan dan sekali gus memberi masa lapang yang lebih banyak untuk pelajar menyertai aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab dan permainan serta badan unit beruniform. Kesannya, pelajar pelajar dapat menggerakkan sukan di sekolah hingga ke peringkat daerah,negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
            Selanjutnya, PBS juga terdapat kelemahannya. Antaranya, sistem pendidikan Malaysia yang bersifat berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan digubal pada peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kebanyakan pentadbir atau guru tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri. Sebagai contohnya, apabila program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) diperkenalkan, guru mata pelajaran bahasa Malaysia dan subjek teras lain terpaksa bertungkus lumus memberi perhatian kepada pelajar yang terlibat dalam program berkenaan. Guru juga terpaksa membahagikan masa antara mengajar murid kelas perdana dan murid program KIA2M selain daripada terpaksa mengikuti kursuskursus dalaman yang berkaitan dengan program berkenaan. Bagaimanapun, baharu saja guru yang terlibat dalam program berkenaan berusaha meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan program tersebut, akhirnya ia dimansuhkan dan digantikan dengan program Literacy and Numeracy Screening (LINUS). Maka sekali lagi guru-guru terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa yang jelas, banyak masa guru diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu program berbanding masa untuk melaksanakannya.
            Isu kekangan ruang dan masa juga boleh menyukarkan usaha transformasi ke atas program kurikulum atau kokurikulum yang hendak dilaksanakan. Pelaksanaan P & P terancang di luar kelas sukar terutamanya bagi sekolah menumpang dan sekolah-sekolah dua sesi yang menghadapi kekangan ruang. Kekangan ruang dan masa memerlukan kepimpinan yang kreatif untuk mewujudkan dan memantapkan budaya ownership. Kekurangan guru juga amat ketara di sekolah ekoran daripada kursus anjuran PPG atau JPN dan juga program ko-kurikulum peringkat gabungan dan negeri yang diadakan secara berterusan. Guru-guru terpaksa meninggalkan sekolah dan akibatnya P & P terganggu. Semangat sepasukan sukar disemai kerana wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan guru yang asyik mengganti kelas mereka yang sering berurusan rasmi di luar kawasan sekolah. Manakala guru-guru yang sering keluar pula tidak berupaya untuk menjual beli mahupun membuat kelas tambahan kerana kekangan tempat dan masa dan merasakan diri mereka tidak dihargai oleh pemimpin sedangkan mereka telah memberi sumbangan kepada organisasi.
            Tambahan lagi, sistem PBS ini juga mendatangkan kesulitan kepada guru sewaktu ingin memasukkan markah ke dalam talian. Bagi guru yang bertugas di pedalaman, masalah rangkaian internet merupakan faktor utama kelemahan sistem PBS ini. Mereka perlu menunggu sehingga lewat malam bagi memasukkan markah pelajar ke dalam sistem. Bagi ibu bapa yang kurang berkemahiran dalam teknologi dan maklumat sudah tentu tidak dapat memantau perkembangan anak-anak mereka. Hal ini menyebabkan mereka tertanya-tanya tentang perkembangan pelajaran anak-anak mereka. Hal ini juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengetahui prestasi semasa anak-anak dan membantu anak-anak mereka untuk mempertingkatkan prestasi dalam pelajaran. Sistem band juga memeningkan ibu bapa. Pengetahuan tentang sistem PBS yang tidak diambil kisah oleh ibu bapa  dan kurang maklumat yang diberikan oleh pihak sekolah dan kerajaan menyebabkan mereka tidak tahu di mana tahap penguasaan dan prestasi anak mereka. Hal ini mendatangkan kesan sampingan kepada peningkatan prestasi pelajar.
            Kelemahan sistem PBS yang seterusnya ialah dapat dilihat melalui pemansuhan UPSR dan PMR. Pemansuhan UPSR dan PMR menjejaskan penilaian terhadap tahap prestasi pelajar yang berasaskan peperiksaan standard. Hal ini demikian kerana, guru di sekolah kurang berupaya untuk menyediakan soalan yang standard dengan UPSR mahupun PMR. Mereka hanya mampu menyediakan ujian bulanan mengikut sekolah masing-masing sahaja untuk menilai perkembangan pelajar. Penilaian perkembangan prestasi pelajar sebegini seolah-olah tiada hala tuju yang tertentu di samping tidak dapat menilai prestasi pelajar dengan tepat. Hal ini jauh berbeza apabila UPSR dapat menilai keupayaan pelajar dalam menguasai perkara asas 4M iaitu membaca, mengira,menulis dan menaakul. PMR pula penting kerana dapat menentukan arah aliran yang bakal diambil pelajar pada tingkatan empat di samping menilai keupayaan pelajar dalam bidang-bidang tertentu. Jelasnya, peperiksaan awam UPSR dan PMR perlu dikekalkan untuk penilaian perkembangan prestasi pelajar yang standard.Pemansuhan UPSR dan PMR juga menghil angkan budaya saling bersaing di sekolah. Budaya saling bersaing penting dalam kalangan pelajar sejak dahulu lagi. Hal ini demikian kerana budaya saling bersaing bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang mempunyai keazaman tinggi untuk memperoleh keputusan cemerlang malahan merupakan alternatif untuk pelajar meningkatkan prestasi mereka.

Tuntasnya, jelas terbukti bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini telah dirangka dengan sempurna dan tersusun bagi meningkat dan menjamin mutu pendidikan negara pada masa akan datang. PBS ini juga mendatangkan impaknya yang tersendiri. Kelemahan yang ada haruslah diperbaiki dan dicari jalan penyelesainnya bagi meningkatkan lagi kualiti mutu pendidikan di Malaysia. Apa yang penting, setiap perancangan rapi yang telah disusun haruslah berakhir dengan perlaksanaan yang sempurna. Maka PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, serta mendapat kerjasama yang jitu daripada semua pihak yang terlibat, ianya bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis di sekolah untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan masalah gejala sosial yang berlaku pada masa sekarang ini selain memberi transformasi yang positif terhadap pendidikan di Malaysia.

1 comment:

  1. Mohon copy.. Thanks for the information.. Sgt bermanfaat...

    ReplyDelete