Kebaikan dan Keburukan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Oleh : Tarmizi bin Hanafiah
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat, transformasi bermaksud perubahan bentuk seperti
sifat, rupa dan keadaan. Transformasi bukan hanya berlaku dalam sesebuah
organisasi pendidikan tetapi juga melibatkan transformasi dalam bidang
kurikulum. Hal ini adalah selaras dengan matlamat bahawa sekolah bukan sekadar
tempat untuk menyediakan pelajar-pelajar yang bakal mengisi kekosongan sesuatu pekerjaan
yang khusus sebaliknya merupakan satu tempat yang berfungsi untuk memberikan
didikan yang sempuna dan lengkap yang dapat menjamin dan membolehkan mereka
menyumbang kepada kemajuan diri dan masyarakat. Justeru, kurikulum pendidikan mestilah
mempunyai wasilah yang dapat memfokuskan kepada proses memperkembangkan potensi
individu daripada pelbagai sudut.
Antara transformasi yang
diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan memperkenalkan
sistem pentaksiran yang holistik iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada
awal tahun 2011 adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi
memastikan sistem pendidikan negara dapat melahirkan modal insan yang berkesan.
Sistem PBS juga adalah salah satu usaha membangunkan modal insan secara
holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual,
pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang
tinggi. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan penambahbaikkan bagi sistem
peperiksaan yang sedia ada iaitu UPSR dan PMR. Sistem pentaksiran yang baru ini
telah dirangka dan disusun secara sistematik oleh lembaga peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana terdapat buku panduan pengurusan dan
pengendalian pentaksiran berasaskan sekolah yang boleh dijadikan panduan untuk
mengoperasikan PBS di sekolah rendah dan menengah.
Konsep Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik
iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif
(emosi dan rohani) dan
psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Komponen-komponen PBS terbahagi
kepada dua bidang iaitu mentaksir bidang akademik dan bukan akademik yang mana
bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat
(PP), manakala bidang bukan akademik
terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Kedua-dua bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi
kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan
sekolah.
Setiap komponen tersebut
memainkan peranan yang penting untuk mentaksir murid-murid mengikut bidang yang
ditetapkan. Di dalam bidang akademik murid-murid, Pentaksiran Pusat (PP) dan
Pentaksiran Sekolah (PS) yang memainkan
peranan. Pentaksiran pusat (PP) adalah pentaksiran yang ditadbir, diperiksa,
direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang
dikeluarkan oleh Lembaga peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata
pelajaran. Pentaksiran Sekolah (PS) pula adalah pentaksiran yang menjurus
kepada bidang akademik yang mana berfungsi sebagai pentaksiran untuk
pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran
(assessment of learning). Terdapat dua jenis pentaksiran sekolah iaitu
pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.
Pentaksiran formatif
membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah
dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal
mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.
Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang
menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. Contoh instrumen
yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak,
laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian. Manakala Pentaksiran sumatif
dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian
prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk
kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Contoh
instrumen yang boleh digunakan ialah
ujian bulanan dan ujian penggal. Pembaharuan lain ialah segala
perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan
peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen portfolio itu merekodkan kegiatan
dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu
bapa.
Pentaksiran Sekolah adalah
komponen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana berperanan
mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru serta mampu
memberi maklumat yang sah tentang apa yang telah dilaksanakan atau dicapai
dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran ini
dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula daripada aspek
perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan
atau penskoran, perekodan dan pelaporannya. Justeru, pentaksiran ini amat
penting untuk menentukan keberkesanan
guru dan pihak sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni dan
seimbang.
Selain daripada itu, ianya merupakan
aktiviti yang berterusan yang menagih komitmen yang tinggi serta hala tuju yang
jelas daripada guru dan pihak sekolah
untuk memperkembangkan potensi setiap murid ke tahap maksimum.
Pentaksiran sekolah
bercirikan satu pentaksiran yang holistik iaitu mampu memberi maklumat
keseluruhan tentang pencapaian
pengetahuan dan kemahiran serta pengamalan nilai murni murid-murid. Disamping
aktiviti pentaksiran berterusan iaitu berjalan seiring dengan proses pengajaran
dan pembelajaran, pentaksiran sekolah juga bersifat fleksibel iaitu kaedah
pentaksiran yang pelbagai mengikut kesesuaian dan kesediaan murid dengan
merujuk standard prestasi yang dibina berdasarkan standard kurikulum. Jelas
menunjukkan pentaksiran yang dirangka sangat menyeluruh dan memberi banyak
kelebihan kepada pendidikan di negara kita walaupun terdapat kekeliruan
daripada segelintir para pendidik dan ibu bapa untuk melaksanakan sistem ini di
sekolah.
Dalam usaha menjadikan
pentaksiran berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,
Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi
sebagai sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara
langsung dan tidak langsung. Standard Prestasi digunakan untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta
pencapaian prestasi seseorang murid. Disamping itu, Standard Prestasi juga
merupakan proses untuk mendapatkan maklumat tentang sejauh mana tahap
pengetahuan, pemahaman dan tindakan yang boleh murid-murid lakukan atau telah
menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang
ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian. Pernyataan Standard diletakkan
dalam kategori mengikut Band iaitu Band 1, Band 2, Band 3, Band 4, Band 5 dan Band 6 yang disusun mengikut
hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku
terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu
murid-murid.
Antara kelebihannya, pentaksiran
ini tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi
melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan
dan pertumbuhan murid tersebut dalam pembelajaran berdasarkan pernyataan
standard. Justeru, murid-murid akan dinilai secara adil dan saksama sebagai
individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran
dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Malahan, pihak sekolah
juga mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif
dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu
bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai,
mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan
mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa
mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Selain itu, Standard Prestasi
juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat
untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.
Konsep Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) juga menyediakan pentaksiran bagi menilai murid-murid
tidak hanya di dalam bidang akademik malah terdapat pentaksiran yang dirangka
untuk melihat penglibatan murid-murid di dalam bidang sukan dan
kemahiran-kemahiran yang lain. Komponen pentaksiran tersebut terdiri daripada
Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan
Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
(PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan,
mengukur penyertaan, penglibatan, prestasi murid dalam pelbagai aktiviti sukan,
kokurikulum dan ekstrakurikulum (extra-curricular). PAJSK memerlukan murid
melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik sama ada di dalam atau di luar
bilik darjah mengikut keupayaan murid dan dibangunkan untuk melengkapi sistem
pentaksiran pendidikan di Malaysia
supaya lebih holistik dan bersepadu. PAJSK juga sejajar dengan konsep
Satu Murid Satu Sukan (1M1S), pembangunan modal insan dan perkembangan potensi
murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang
dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Manakala bagi Pentaksiran
Psikometrik, dilaksanakan untuk menilai dan mengukur kebolehan semula jadi
(innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada
pengalaman dan persekitaran. Pentaksiran Psikometrik juga merupakan suatu
kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang
menggambarkan ciri (trait) psikologi yang diukur merangkumi dua komponen utama
iaitu aptitud dan personaliti murid. Ujian Aptitud pula terbahagi kepada dua
komponen iaitu Ujian Aptitud Am dan Ujian Aptitud Khusus. Ujian Aptitud Am
mengukur kebolehan yang menggambarkan kemahiran asas murid secara hierarki juga
mengenal pasti kecenderungan murid berdasarkan kriteria tertentu seperti
mengenal pasti kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan
kecenderungan murid. Manakala Ujian Aptitud khusus adalah untuk mendapatkan
maklumat khusus tentang struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan
murid dalam bidang tertentu. Ujian Aptitud Khusus ini telah menerapkan Teori
Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner, yang mana beliau
percaya bahawa manusia itu diklasifikasikan pintar cerdas bukan dari cerdas
akademik semata-mata tetapi mempunyai sembilan kecerdasan yang lain iaitu
verbal-linguistik, kreativiti, muzik, naturalis, visual, kinestetik,
interpersonal, intrapersonal dan logik matematik.
Inventori Personaliti pula
ialah satu instrumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang sahsiah
unik setiap murid. Instrument ini bertujuan membantu mengenal pasti personaliti
murid supaya guru dapat menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang
sesuai serta membantu murid dan ibu bapa mengenal pasti personaliti anaknya dan
menyedari potensi diri mereka. Di samping itu, pihak sekolah dapat menyediakan
profil murid yang lengkap untuk rujukan dan kegunaan dalam pendidikan dan
perkembangan individu murid-murid. Setiap individu yang terlibat dalam
pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah
bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan.
Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat
pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat
dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang
tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Maka dengan itu, Kementerian Pelajaran
juga telah bersiap sedia menyediakan indikator atau petunjuk utama bagi
penjaminan kualiti dalam Pentaksiran Berasakan Sekolah ini iaitu kesahan,
kebolehpercayaan, kebolehtadbiran dan keadilan. Penjaminan kualiti bagi
pelaksanaan PBS pula dapat dicapai melalui proses pementoran, penyelarasan,
pemantauan dan pengesanan.
Pihak kementerian pelajaran
juga telah menyediakan beberapa langkah untuk mengkaji kelemahan dan kebaikan
perlaksanaan sistem PBS ini. Antaranya ialah menyediakan sebuah portal rasmi
maklumat berkaitan PBS yang terkandung di dalamnya sebuah kajian soal selidik
mengenai tahap kesediaan guru melaksanakan PBS. Kajian soal selidik tersebut
wajib diisi oleh guru-guru tahun satu, dua, tiga dan tingkatan satu. Perkara
ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat kesediaan guru dan dapatan soal
selidik tersebut dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia merangka pelan
tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.
Seterusnya, antara
kelebihan lain melalui sistem PBS ini adalah mengenai pemansuhan UPSR dan PMR.
Pemansuhan UPSR dan PMR dapat meringankan beban pelajar dan guru. Pemansuhan
kedua-dua peperiksaan ini membolehkan pelajar belajar tanpa tekanan. Hal ini
demikian kerana, pelajar tidak lagi perlu untuk menghabiskan sukatan dalam
tempoh enam tahun dan tiga tahun untuk peperiksaan UPSR dan PMR. Pelajar hanya
perlu mengambil satu peperiksaan awam sahaja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (
SPM ) yang tempoh masa belajarnya mencecah sebelas tahun. Dengan ini, beban
pelajar untuk menghabiskan sukatan dalam tempoh masa yang singkat dapat
dihapuskan. Sehubungan itu, beban guru di sekolah juga dapat dikurangkan apabila
tidak diwajibkan untuk mengadakan kelas tambahan sebaik sahaja tamat waktu
persekolahan setiap hari. Jelasnya, pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR ini
mampu mengurangkan beban guru dan pelajar.
Tambahan lagi, pemansuhan
UPSR dan PMR dapat menggalakkan penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum.
Pemansuhan kedua-dua peperiksaan ini menyebabkan kelas tambahan untuk pelajar
tidak diwajibkan dan sekali gus memberi masa lapang yang lebih banyak untuk
pelajar menyertai aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab dan permainan
serta badan unit beruniform. Kesannya, pelajar pelajar dapat menggerakkan sukan
di sekolah hingga ke peringkat daerah,negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
Selanjutnya,
PBS juga terdapat kelemahannya. Antaranya, sistem pendidikan Malaysia yang
bersifat berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan digubal pada
peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia,
kebanyakan pentadbir atau guru tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa akur
dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Pengupayaan kepada sekolah adalah
terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan
yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi
untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri. Sebagai
contohnya, apabila program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)
diperkenalkan, guru mata pelajaran bahasa Malaysia dan subjek teras lain terpaksa
bertungkus lumus memberi perhatian kepada pelajar yang terlibat dalam program
berkenaan. Guru juga terpaksa membahagikan masa antara mengajar murid kelas
perdana dan murid program KIA2M selain daripada terpaksa mengikuti kursuskursus
dalaman yang berkaitan dengan program berkenaan. Bagaimanapun, baharu saja guru
yang terlibat dalam program berkenaan berusaha meningkatkan pengetahuan mereka
berkenaan program tersebut, akhirnya ia dimansuhkan dan digantikan dengan
program Literacy and Numeracy Screening (LINUS). Maka sekali lagi guru-guru
terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa yang jelas, banyak masa guru
diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu program
berbanding masa untuk melaksanakannya.
Isu
kekangan ruang dan masa juga boleh menyukarkan usaha transformasi ke atas
program kurikulum atau kokurikulum yang hendak dilaksanakan. Pelaksanaan P
& P terancang di luar kelas sukar terutamanya bagi sekolah menumpang dan
sekolah-sekolah dua sesi yang menghadapi kekangan ruang. Kekangan ruang dan masa
memerlukan kepimpinan yang kreatif untuk mewujudkan dan memantapkan budaya
ownership. Kekurangan guru juga amat ketara di sekolah ekoran daripada kursus
anjuran PPG atau JPN dan juga program ko-kurikulum peringkat gabungan dan
negeri yang diadakan secara berterusan. Guru-guru terpaksa meninggalkan sekolah
dan akibatnya P & P terganggu. Semangat sepasukan sukar disemai kerana
wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan guru yang asyik mengganti kelas
mereka yang sering berurusan rasmi di luar kawasan sekolah. Manakala guru-guru
yang sering keluar pula tidak berupaya untuk menjual beli mahupun membuat kelas
tambahan kerana kekangan tempat dan masa dan merasakan diri mereka tidak
dihargai oleh pemimpin sedangkan mereka telah memberi sumbangan kepada
organisasi.
Tambahan
lagi, sistem PBS ini juga mendatangkan kesulitan kepada guru sewaktu ingin
memasukkan markah ke dalam talian. Bagi guru yang bertugas di pedalaman,
masalah rangkaian internet merupakan faktor utama kelemahan sistem PBS ini.
Mereka perlu menunggu sehingga lewat malam bagi memasukkan markah pelajar ke
dalam sistem. Bagi ibu bapa yang kurang berkemahiran dalam teknologi dan
maklumat sudah tentu tidak dapat memantau perkembangan anak-anak mereka. Hal
ini menyebabkan mereka tertanya-tanya tentang perkembangan pelajaran anak-anak
mereka. Hal ini juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengetahui prestasi
semasa anak-anak dan membantu anak-anak mereka untuk mempertingkatkan prestasi dalam
pelajaran. Sistem band juga memeningkan ibu bapa. Pengetahuan tentang sistem
PBS yang tidak diambil kisah oleh ibu bapa dan kurang maklumat yang diberikan oleh pihak
sekolah dan kerajaan menyebabkan mereka tidak tahu di mana tahap penguasaan dan
prestasi anak mereka. Hal ini mendatangkan kesan sampingan kepada peningkatan
prestasi pelajar.
Kelemahan
sistem PBS yang seterusnya ialah dapat dilihat melalui pemansuhan UPSR dan PMR.
Pemansuhan UPSR dan PMR menjejaskan penilaian terhadap tahap prestasi pelajar
yang berasaskan peperiksaan standard. Hal ini demikian kerana, guru di sekolah
kurang berupaya untuk menyediakan soalan yang standard dengan UPSR mahupun PMR.
Mereka hanya mampu menyediakan ujian bulanan mengikut sekolah masing-masing
sahaja untuk menilai perkembangan pelajar. Penilaian perkembangan prestasi
pelajar sebegini seolah-olah tiada hala tuju yang tertentu di samping tidak
dapat menilai prestasi pelajar dengan tepat. Hal ini jauh berbeza apabila UPSR
dapat menilai keupayaan pelajar dalam menguasai perkara asas 4M iaitu membaca,
mengira,menulis dan menaakul. PMR pula penting kerana dapat menentukan arah
aliran yang bakal diambil pelajar pada tingkatan empat di samping menilai
keupayaan pelajar dalam bidang-bidang tertentu. Jelasnya, peperiksaan awam UPSR
dan PMR perlu dikekalkan untuk penilaian perkembangan prestasi pelajar yang
standard.Pemansuhan UPSR dan PMR juga menghil angkan budaya saling bersaing di
sekolah. Budaya saling bersaing penting dalam kalangan pelajar sejak dahulu
lagi. Hal ini demikian kerana budaya saling bersaing bukan sahaja mampu
melahirkan pelajar yang mempunyai keazaman tinggi untuk memperoleh keputusan
cemerlang malahan merupakan alternatif untuk pelajar meningkatkan prestasi
mereka.
Tuntasnya, jelas terbukti
bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini telah dirangka dengan sempurna dan
tersusun bagi meningkat dan menjamin mutu pendidikan negara pada masa akan
datang. PBS ini juga mendatangkan impaknya yang tersendiri. Kelemahan yang ada
haruslah diperbaiki dan dicari jalan penyelesainnya bagi meningkatkan lagi kualiti
mutu pendidikan di Malaysia. Apa yang penting, setiap perancangan rapi yang
telah disusun haruslah berakhir dengan perlaksanaan yang sempurna. Maka PBS ini
jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, serta mendapat kerjasama yang jitu
daripada semua pihak yang terlibat, ianya bakal mewujudkan persekitaran yang
harmonis di sekolah untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi
banyak manfaat serta mampu mengurangkan masalah gejala sosial yang berlaku pada
masa sekarang ini selain memberi transformasi yang positif terhadap pendidikan
di Malaysia.